Home » » Tidak Perlu Pembesar Suara Selain Laungan Azan - Dr. Maza

Tidak Perlu Pembesar Suara Selain Laungan Azan - Dr. Maza

Written By kall on Tuesday, April 15, 2014 | 2:11 AM


Harian metro1 Online

Tidak Perlu Pembesar Suara Selain Laungan Azan - Dr. Maza

Penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat Al-Quran atau berzikir, selain daripada laungan azan patut dihentikan kerana ia akan menyebabkan kekeliruan dan tindakan itu akan menyebabkan orang ramai terganggu, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tidak Perlu Pembesar Suara Selain Laungan Azan, Kata Dr. Maza

Beliau berkata, sesetengah pihak menganggap tindakan itu sebagai "perjuangan mempertahankan Islam", tetapi Islam sendiri mensyariatkan hanya azan yang patut dilaungkan dengan kuat.

innity_pub = "966b6dfb6b0819cc10644bea3115cf20"; innity_cat = "MALAY,NEWS,ENTERTAINMENT"; innity_zone = "42003"; innity_width = "300"; innity_height = "250"; innity_country = "MY";
"Bacaan selain azan yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai akan turut mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia adalah azan.

"Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain," katanya di blognya, drmaza.com.

Mohd Asri berkata, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad dan Islam menghalang ketenteraman awam diganggu.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu berkata, menghentikan bacaan dibuat melalui pembesar suara tidak bermaksud bersifat politik semata-mata, tetapi ia selaras dengan saranan Nabi Muhammad demi menjaga keharmonian Islam.

"Suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak," katanya.


Katanya, beliau tidak menolak hakikat bacaan Al-Quran dan zikir baik diamalkan tetapi umat Islam tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan itu.

"Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam.

"Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara," katanya.

Beliau berkata, dalam hadis ada menyebut Nabi Muhammad melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain beribadah, atau menyakitkan orang lain.

"Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadat pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid.

"Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya," katanya.

Bekas mufti Perlis itu turut memberi contoh ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin juga bersetuju bacaan selain azan menggunakan pembesar suara akan menyebabkan ramai yang akan terganggu hingga menimbulkan perasaan kurang senang.

Katanya, jika kenyataan tersebut boleh dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang di negara Arab Saudi di mana majoriti penduduknya adalah Islam, mengapa tidak Malaysia yang didiami masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama.

Semalam, Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) berkata, akan menyiasat berhubung tindakan seorang lelaki Melayu membuat laporan polis mendakwa bacaan tahrim dan laungan azan Subuh mengganggu tidurnya.

Laporan tersebut yang tersebar dalam laman sosial Facebook sejak kelmarin mendakwa lelaki Melayu itu terjaga akibat bacaan tahrim dan laungan azan yang kuat pada jam 5.45 pagi, 8 April lalu, di rumahnya di Jalan Perjiranan, Pasir Gudang.

Lelaki berusia 56 tahun dan bekerja di kilang itu mendakwa bunyi pembesar suara masjid di Jalan Perjiranan, Pasir Gudang itu terlalu kuat sehingga dia tidak selesa dan terganggu.

Beliau mendakwa, sudah melaporkan perkara itu kepada Jaij dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), selain berjumpa dengan ahli jawatankuasa masjid berkenaan sebelum membuat laporan polis. – 15 April, 2014.- TMI Wa Allahu'alam...

sumber



0 comments:

Post a Comment