Home » » 7 Punca Utama Kes Cerai Di Malaysia

7 Punca Utama Kes Cerai Di Malaysia

Written By kall on Tuesday, April 15, 2014 | 3:39 AM


Harian metro1 Online

7 Punca Utama Kes Cerai Di Malaysia

gambar hiasan
Kuala Lumpur: Jumlah kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam semakin membimbangkan apabila sehingga tempoh Jun 2013, sebanyak 22,165 kes didaftarkan iaitu hampir separuh daripada keseluruhan kes pada 2012.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), keseluruhan pendaftaran kes perceraian pada 2012 iaitu 47,779 berbanding 43,137 kes pada 2011.
Jenis kes itu merangkumi tuntutan fasakh, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan perceraian, tuntutan khuluk atau tebus talak dan permohonan pengesahan cerai taklik.
Pada 2012, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 9,045 diikuti Johor (5,152), Kelantan (4,577), Kedah (3,602) dan Terengganu (3,514).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata, tujuh perkara menjadi antara sebab utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini iaitu masalah agama atau budaya, seksual, kewujudan pihak ketiga, suami atau isteri tidak bertanggungjawab, kesihatan, isu sosial atau akhlak serta ekonomi.
“Berdasarkan kajian, kita dapati masalah ini menjadi antara faktor penyebab berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, terdapat beberapa pendekatan untuk mengelak berlakunya perceraian antaranya komunikasi dua hala, menerima pasangan seadanya, mencari orang tengah untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan ilmu rumah tangga dan keibubapaan, jangan biasakan berbohong, jangan cemburu berlebihan, hindari kecurangan, tetap mesra serta berdoa dan pasrah kepada Allah.
“Modul kursus praperkahwinan juga perlu dikaji keberkesanannya dalam mengekalkan institusi kekeluargaan yang penuh mawaddah dan rahmah.
“Selain itu, pihak berkuasa juga boleh mengadakan kursus pasca perkahwinan demi memastikan keharmonian rumah tangga dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata, Islam tidak menggalakkan umatnya bercerai kerana kesan negatif kepada pasangan itu sendiri, anak, keluarga malah masyarakat amnya.
“Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan pasangan suami isteri dengan baik serta sempurna jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian bersumberkan iman dan takwa kepada Allah.
“Selagi pasangan menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan ajaran Islam, insyaAllah tujuan dan matlamat perkahwinan berkekalan hingga akhir hayat,” katanya.
Menurutnya, selain itu, apabila seseorang itu berkahwin, mereka perlu pandai menyesuaikan diri dengan keluarga pasangan masing-masing bagi memelihara keharmonian rumah tangga.
“Begitu juga bagi pihak keluarga sendiri dan keluarga mentua kerana mereka perlu menerima hakikat anak mereka sudah berkahwin,” katanya - Hmetro Online


0 comments:

Post a Comment